Mukah merupakan sebuah pekan kecil di delta sungai Rajang, pandai tengah negeri Sarawak. Pekan ini terletak kira-kira 200km dari Bandar Sibu.  Dari segi kedudukan geografi, pekan Mukah terletak di muara sungai Mukah. Dari segi panjang, sungai kecil ini mempunyai kepanjangan yang kira-kira 60 km dan ia mengalir ke arah Laut China Selatan. Di kawasan hulu sungai Mukah terdapat, sebuah pekan utama, iaitu Selangau. Mukah berada di bawah pentabidran Bahagian Ketiga, Sibu, Sarawak. Sebagai pekan kecil di pantai bahagian tengah Sarawak, Mukah merupakan sebuah bandar yang penting, dari segi perikanan pengeluaran sagu yang utama di Sarawak dan Malaysia. Daerah Mukah boleh dibahagikan kepada tiga buah daerah kecil, iaitu Daerah Kecil Mukah (keluasan 1,988 km2), Daerah Kecil Balingian (keluasan 3,032km2) dan Daerah Kecil Selangau. (Dzulfawati 1999). Pusat pentadbiran Mukah mula berpindah ke Menara Pehin Setia Raja Mukah pada 27 September 2003.  Walaupun Mukah terletak di Bahagian ketiga Sarawak, namun, system pentadbiran di pisahkan dengan Sibu. Mukah ditadbir di bawah Majlis Daerah Mukah manakalah, Sibu ditadbir di bawah Majils Perbandaran Sibu.


 Populasi Penduduk

Berdasarkan Yearbook of Satistics Sarawak 2015, jumlah populasi penduduk yang tinggal di daerah pentadbiran Mukah dan jenis-jenis suku adalah seperti Jadual 1 berikut:

 

Jadual 1: Jumlah Penduduk dan Suku Kaum di Mukah, 2010

Kaum  Jumlah
Melanau 18,214
Cina 3,655
Melayu 2,929
Iban 12,304
Bidayuh 336
India 52
Bumiputera lain 1,418
Bukan Warganegara 3,888
Lain-lain 99
 Jumlah  42,895

 


Ekonomi

Di Mukah, terdapat dua sumber ekonomi yang utama iaitu pertanian dan perikanan.  Selain dua sumber ekomoni ini terdapat juga kegiatan perniagaan, industri (terutamanya industri kecil sederhana). Pada bahagian ini, tumpuan perbincangan kepada pertaniaan dan perikanan. Kerana kedua-dua sumber ekomoni ini amat berkait rapat dengan kehidupan orang Melanau di Mukah.


Pertanian         

Menurut Laporan Perangkaan Tanaman Industri 2013 hanya terdapat dua pertanian dua jenis tanaman industri iaitu Sagu dan Kelapa sahaja. Ini kerana, kawasan Mukah terledak di delta sungai dan persisir pantai. Menurut Jackson (1976), tanah di kawasan persisir adalah tanah liat yang berwarna perang dan kelabu. Di tepi-tepi teres tanah ini kasar keadaannya dan seperti pasir serta bercampur dengan tanah-tanih jenis podsol. Di tepi lembangan ini adalah berupa tanah hampir paya gambut dan tanah kapur dan lebih banyak mengandungi bahan organan. Tanah ini tidak bersaliran baik dan tidak sesuai untuk kebanyakkan tanaman kecuali sagu dan kelapa. Dari segi statistic, jumlah keluarsan tanaman dan hasil pengeluaran kedua-dua tanaman ini adalah seperti Jadual 2 berikut:

Jadual 2: Tanaman Pertanian Utama di Mukah

Jenis Tanaman Luar  Bertanam ( Hektar ) Pengeluaran ( Tan )
Kelapa 1,161 4,131.6
Sagu 11,112 13,621.1

 

Di antara kedua-dua tanaman ini, sagu adalah tanaman utama dan amat penting kepada masyarakat Melanau. Kehidupan suku Melanau secara tradisi tidak boleh dipisahkan dengan sagu. Kalau di Sarawak, apabila menyebut tentang sagu, pasti akan dikaitkan dengan suku Melanau. Menurut Jeniri (2015), sagu adalah nadi kehidupan masayrakat Melanau, kerana seluruh pokok rimbia dapat dimanfaatkan. Kulitnya boleh digunakan untuk menbuat kayu api, isinya dijadikan lemantak, daun dijadikan atap, di antaranya lemantak dapat dibuat oleh pelbagai jenis makanan. Bebola sagu yang menjadi makanan utaman suku Melanau suatu ketika dahulu sebelum digantikan dengan nasi.


Perikanan

Selain Pertanian Sagu dan Kelapa, perikanan juga penting sekali dalam kehidupan masyarakat Melanau. Oleh kerana orang Melanau tinggal di persekitaran yang berhampiran dengan laut dan muara sungai, dengan itu, mereka juga terkenal sebagai Nelayan atau penangkap ikan yang handal. Penangkapan ikan di Mukah bergantung kepada musim. Biasanya musim mula menangkap ikan adalah dari bulan Mac hingga bulan Oktober. Di antara Disember hingga Februari, aktiviti penangkapan ikan terpaksa berhenti kerana laut yang bergelora (ketika angin monsun Timur Laut). Pada zaman sekarang, orang-orang Melanau menggunakan cara moden untuk menangkap ikan, iaitu dengan pukat dan bot berenjin. Menurut Yearbook of Satistics Sarawak 2015, jumlah nelayan Melanau yang terlibat dalam perikanan ialah 4,164 orang pada tahun 2014 dan jumlah ini meningkat dari 3,389 orang pada tahun 2010. Selain penangkapan ikan, industri berkaitan dengan perikanan juga penting dalam perekonomian Melanau. Industri yang dimaksudkan ialah industri membuat keropok, ikan salai, ikan masin, udang kering dan ikan kering.


Suku Melanau

Menurut Morris (1989), istilah Melanau suatu ketika dulu adalah istilah merujuk kepada suku pribumi bukan Dayak laut (Iban) dan Dayak darat (Bidayuh dan lain-lain). Kini, istilah ini merujuk kepada suku pribumi asal yang tersebar dari delta Rejang hingga ke Bintulu di persisir pantai Sarawak, sepanjang sungai Rejang hingga ke Kapit (Chou 2002). Istilah ini tidak digunakan oleh suku Melanau sendiri untuk menggelar diri mereka. “Melanau” hanya digunakan oleh Melayu Brunei yang suatu ketika dahulu memerintah kawasan ini. Suku “Melanau”  menggelar diri mereka sebagai “A Likow” yang bermaksud “orang sungai”. Sebenarnya, kata “Melanau” telah wujud di peta Eropah seawal tahu 1595 (Morris 1971).

Kini, kata “Likow” mengalami penyempitan makna iaitu merujuk kepada suku Melanau yang bukan beragama Islam (beragama Kristian dan pagan). Dalam kebanyakan tulisan kontempori tentang kebudayaan tradisional Melanau, iaitu kebudayaan yang diamakan oleh Melanau Kristian dan animisme, kesemuanya menggelar golongan Melanau ini sebagai Melanau “Likow”. Contohnya, seperti tulisan Dzulfawati (1999, 2006), Jeniri (2015) dan Yasir (1987). Sepengetahuan penulis, melalui pembacaan dan pengalaman lapangan suku Melanau yang beragama Islam tetap digelar sebagai “Melanau” untuk konteks Mukah, Dalat dan Oya. Untuk Melanau muslim di luar kawasan persebaran bahasa Melanau seperti Sibu dan Kucing mereka sebaliknya digelar atau menggelar diri sebagai Melayu. Justeru kerana mereka berada di lingkungan yang berbahasa Melayu Sarawak sebagai bahsa dominan, maka kebanyakan mereka berbahasa Melayu Sarawak, ini seperti yang didakwa oleh Faisal (2008) iaitu “…a Muslim Melanau can identify himself or herself as a Malay because he or she speaks the Malay language …”.

Menurut MacDonaid (1985), suku Melanau adalah komuniti yang terdiri daripada gabungan populasi suku primitif kawasan hulu dengan komuniti yang lebih moden di persisir pantai. Secara etnografi orang Melanau didakwa mempunyai hubungan kekerabatan dengan suku Kayan di hulu sungai Rejang. Pada asalnya, mereka sama seperti suku pagan lain di Borneo. Oleh kerana pertempatan mereka yang kemudian adalah di kawasan persisir maka mereka terdedah kepada kebudayaan lain, terutamanya Melayu, misalnya, mereka memakai sarung meninggalkan tempat tinggal yang berbentuk rumah panjang. Keakraban hubungan budaya Melanau dengan  Melayu juga telah dicatatkan dalam pengembaraan Hugh Low seawal awal abad ke-19. Menurut beliau “Nearly all of the inhabitants of the large tribe of Rejang, on that river, have adopted the dress, and many of them the religion of Malays.” (Low 1968). Selain terdapat teori yang mengatakan suku Melanau mempunyai hubungan dengan suku Kayan, Clayre (1972 dlm Morris 1978) mengatakan suku Melanau mempunyai hubungan kebudayaan, lingustik dan social dengan kelompok Kajang di pertengahan sungai Rejang dan sungai Balui.

Kalau dilihat dari segi bahasa, suku Kayan dan Kajang menduduki kelompok bahasa yang berbeza. Bahasa suku Kayan adalah tergolong dalam kelompok bahasa Kayan-Kenyah, iaitu bahasa dalam rumpun Sarawak Utara. Bahasa Kayan-Kenyah boleh dibahagi kepada cabang Kayanik (contohnya bahasa Kayan yang dituturkan di Mahakam, Rejang, Baram, Madung ) dan cabang Kayanik-Kenyah (contohnya bahasa yang dituturkan di Long Wat, Sebop, Uma, Lung). Bahasa Kajang pula, menduduki rumpun Melanau-Kajang. Contoh bahasa yang termasuk dalam rumpun ini ialah seperti bahasa Kajang, Bukitan, Kejaman, Lahanan, Sekapan, Sian dan Melanau (Soriente 2013). Telah dinyatakan sebelum ini bahawa terdapat dua pendapat tentang hubungan kekerabatan Melanau, iaitu dengan suku Kayan atau suku Kajang. Pada pendapat penulis, suku Melanau adalah berhubungan dekat dengan suku Kajang dengan berdasarkan klasifikasi bahasa yang dibuat oleh Soriente (2013) iaitu bahasa Melanau satu kelompok dengan bahasa Kajang. Menurut Seling & Langub (1989): “On the basis of culture and linguistic similarities the Melanau Kanowit and Melanau Tanjong also claim that they too are Kajang people. The Kajang are one of the earliest inhabitants of the upper Rejang, and have linguistic and cultural affinities with the Melanau of the lower Rejang and coastal area. For instance, both the Melanau and Kajang used to regrad sago as their staple food. They also used to practise the custom of nulang  (secondary burial) and construct burial posts, kliering for their dead chiefs.”

Dalam kosa ilmu yang menyentuh tentang Melanau lazimnya, mengaitkan Melanau dengan agama Islam dan Melayu. Keadaan ini bertitik tolak dari hubungan kawasan Melanau dengan Kesultanan Brunei. Sarawak adalah sebuah negeri yang dinaungi oleh kesultanan Brunei selama berabad-abad lama. Namun kini kawasan naungannya telah lenyap, terutamanya kedatangan penjajah Rajah Brooke; lihat Irwin (1986). Pada zaman kesultanan Brunei, pengawalan dan penguasaan terhadap wilayah berlaku dalam tiga bentuk, iaitu (a) Kerajaan, iaitu wilayah yang ditadbir langsung oleh Sultan, (b) kuripan atau tanah di bawah kekuasaan yang dianugerahkan oleh  Sultan kepada pegawai-pegawai untuk memerintah. Hak milik untuk kawasan ini adalah pada Sultan, dan (3) tulin yang bermaksud kawasan yang ditadbir oleh pemimpin secara turun temurun dan pemimpin tersebut mempunyai kuasa otonomi tertentu, namun bertaat setia pada pemerintahan Sultan Brunei. Sebenarnya naungan Brunei tidak mencakupi wilayah yang luas walaupun dinyatakan secara am meliputi seluruh Sarawak. Kawasan yang menjadi fokus naungan adalah di kawasan persisir pantai dan muara-muara sungai yang utama sahaja. Jarang ada penularan ke kawasan pedalaman kerana dengan pengawalan terhadap kawasan muara sungai, skaligus dapat mengawal pergerakan barang-barang ke pedalaman dan dari pedalaman ke kawasan hilir (King 1993). Penguasaan Brunei ke atas Sarawak adalah bentuk yang (3). Penaungan kesultanan Brunei selama beberapa abad di kawasan persisir pantai telah memberi pengaruh yang besar kepada identiti dan kepercayaan masyarakat persisir, khususnya suku Melanau (contoh terperinci akan dibincangkan kemudian).

Pemelukan Islam suku Melanau berkaitan dengan kesultanan Brunei dan juga kehadiran pedagang Melayu dalam urusniaga sagu di kawasan persisir pantai Sarawak. Menurut Morris (1978), kesultanan Brunei telah menaungi kawasan ini sekurang-kurang empat ratus tahun dengan melantik wakil-wakilnya di muara sungai-sungai yang menjadi pengeluar sagu utama, misalnya di Oya dan Mukah, untuk mengutip hasil dari perdagangan sagu sehingga kedatangan Rajah Brooke ke Sarawak. Walaupun secara politik mereka mengawal perdagangan sagu di kawasan hilir, namun pengaruh politik mereka ke atas kawasan hulu amat minimal. Pada abad ke-19, bahkan belum ada bukti yang menunjukkan mereka mengislamkan Melanau pagan di hulu. Mula abad itu juga wujud pemintaan tepung sagu yang pesat dari Singapore (untuk dieksport ke Eropah untuk bahan industri). Pedagang-pedagang Melayu dari Kuching mula berkunjung ke kawasan Melanau untuk mendapatkan bekalan tepung sagu dan kemunculan mereka member persaingan pada wakil-wakil Brunei dalam perdagangan sagu. Oleh kerana kawasan muara telah dikuasai oleh wakil Brunei, maka mereka menempatkan agen-agen yang biasanya Melayu muslim dari Kuching di kampung-kampung Melanau di kawasan hulu untuk mendapatkan bekalan langsung dari pengusaha sagu tempatan. Muslim pendatang baru yang tinggal di kawasan ini kemudian berkahwin dengan wanita setempat dengan secara beransur-ansur mengislamkan suku Melanau (Morris 1978).

Sejarah orang Melanau memeluk agama Islam juga disebut dalam Babcock (1974). Menurut beliau, orang Melanau memeluk agama Islam sebelum zaman pemerintahan Brook lagi, pada masa itu, muara-muara sungai utama di Sarawak dikuasai oleh pangeran Brunei. Ini menarik pedagang-pedagang Melayu memasuki kawasan ini (kawasan Melanau), berkahwin dengan Melanau, menggunakan bahasa Melanau dan tinggal di rumah panjang Melanau (Pada zaman dulu, pola penempatan Melanau adalah berbentuk rumah panjang). Setelah itu, mereka mula memeluk agama Islam dan menjadi muslim. Selepas seratus tahu kemudian, daripada 35,000 orang Melanau yang dinyatakan dalam Morris (1953) terdapat 26,000 orang  Melanau adalah beragama Islam.