Desa Sepa terletak di Kecamatan Amahai, Kabupaten Maluku Tengah. Dari segi letakan geografi, desa ini terletak di Pulau Seram, sebuah pulau multi suku dan Bahasa. Di seluruh kecamatan Amahai, menurut statistic tahun 2010, terdapat lebih kurang 48,630 populasi. Untuk Desa Sepa, iaitu salah satu desa di kecamatan tersebut mengandungi lebih kurang 6000 orang penduduk (perhitungan kasar). Kampung ini merupakan kampong yang dibina sejajar dengan persisir pantai di mana kawasan daratan adalah kawasan berbukit. Jarak perjalanan kampong ini dari ibu kota kecamatan, iaitu Masohi adalah kira-kira 40 minit dengan pengangkutan darat. Dari segi keagamaan, suku Sepa rata-ratanya beragama Islam kecuali suku Naulu yang masih mengamalkan kepercayaan tradisional. Suku ini malah terkenal dengan tradisi pemenggalan kepala. Suku ini dapat dicam dengan kecenderungan kaum lelaki mengikat kain merah di kepala.  Dari segi mata pencarian, suku Sepa mengamalkan pelbagai kegiatan ekonomi, Antara yang utama ialah menanam cengkih, perikanan, menanam kelapa, buah pala, koko dan sebagainya.

Dari segi kemudahan, desa ini kini dilengkapi dengan kemudahan tiga peringkat system persekolahan, iaitu tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. Di ibu kota kecamatan, terdapat sebuah institusi pendidikan tinggi, iaitu Sekolah Tinggi Keguruan dann Ilmu Pendidikan (STKIP) Gotong Royong. Untuk akses kepada kemudahan lain seperti kemudahan kesihatan, urusan rasmi kerajaan, kemudahan pengangkutan ke tempat lain dan sebagainya, penduduk Sepa perlu berkunjung ke Masohi.

Bahasa yang dituturkan oleh penduduk suku Sepa diperhatikan mengalami kepunahan yang mendadak akibat dominasi Bahasa Melayu Ambon dan Bahasa Indonesia. Berdasarkan situasi terkini, generasi muda rata-ratanya tidak kompeten lagi dalam Bahasa berkenaan. Hanya golongan dewasa dan tua sahaja yang masih menguasai Bahasa tersebut